Friday, June 30

KAUNTER TAMBAHAN BAGI PENUKARAN KAD KONSESI @MYRAPIDKL DI BUKA DI STESEN LRT SRI RAMPAI.

Bermula hari ini, kaunter penukaran kad konsesi MyRapid dibuka di Stesen LRT Sri Rampai bagi Laluan Kelana Jaya. Ia dijangka dapat menampung permintaan pelanggan khususnya yang tinggal di utara Kuala Lumpur khususnya pelajar dari Kolej Tuanku Abdul Rahman dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak.
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Dato' Seri Azmi Abdul Aziz  bertemu dengan pelajar yang datang menukar kad konsesi mereka di stesen LRT Subang Jaya.

Stesen LRT Sri Rampai sebahagian pusat penukaran kad konsesi ke empat yang dibuka selain Stesen LRT Awan Besar bagi Laluan Sri Petaling dan Stesen LRT Subang Jaya bagi Laluan Kelana Jaya yang telah beroperasi sejak 21 Jun 2017. Penambahan pusat penukaran ini adalah sebagai daripada inisiatif untuk mengurangkan kesesakkan di Hab Bas Pasar Seni.

Pusat penukaran kad konsesi ini beroperasi setiap hari bermula jam 7pagi hingga 7malam sehingga 15 Julai 2017. Ketiga-tiga pusat penukaran kad konsesi MyRapid ini, ditambah bagi membolehkan
pemegang kad konsesi MyRapid yang terdiri daripada pelajar, warga emas dan orang kelainan upaya menukar kad konsesi mereka kepada kad konsesi baru yang bercirikan platform Touch ‘n Go (TnG).

Penukaran kad MyRapid ke platform baharu ini adalah perlu bagi membolehkan pengguna menikmati perjalanan yang lancar dan selesa dengan rangkaian bas Rapid KL, LRT, Monorel dan Laluan MRT Sungai Buloh – Kajang yang akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri pada 17 Julai nanti.

“Fasa dua projek MRT Sungai Buloh – Kajang akan berintergrasi dengan LRT Laluan Kelana Jaya di Stesen Pasar Seni, manakala bagi laluan Sri Petaling/Ampang di Stesen Maluri dan Stesen Plaza Rakyat.

Sistem tiket bagi MRT Laluan Sungai Buloh Kajang hanya menerima token dan kad simpanan nilai Touch ‘n Go, pengguna kad MyRapid yang menggunakan perkhidmatan MRT melalui rangkaian LRT akan menghadapi masalah ketika hendak keluar di stesen MRT.

"Oleh itu, pemegang kad MyRapid perlu menukar kad nilai simpanan mereka kepada kad MyRapid Touch 'n Go baharu," kata Ketua Komunikasi Kumpulan dan Pemasaran Strategik, Prasarana Malaysia Berhad, Lim Jin Aun.

Menurut Lim lagi, pengguna kad nilai simpanan (SVT) MyRapid boleh menukar kad mereka di mana-mana stesen LRT, Monorel dan BRT. Proses penukaran kad MyRapid mengambil masa kira-kira lima minit dan kos penukaran adalah percuma.

Walaubagaimanapun, pemegang kad MyRapid dikehendaki menambah nilai kad sedia ada kepada RM5 atau RM10 yang terdekat bagi memudahkan pemindahan nilai yang disimpan pada kad baru. Semua nilai yang disimpan dari kad yang sedia ada akan dipindahkan sepenuhnya ke kad baru.

Bagi pemegang kad konsesi MyRapid, penukaran hanya boleh dibuat di Stesen LRT Awan Besar, LRT Subang Jaya, LRT Sri Rampai dan Hab Bas Pasar Seni. Pembaharuan dan permohonan kad konsesi MyRapid baharu yang boleh dibuat di pusat penukaran Hab Bas Pasar Seni sahaja.

"Kos penukaran kad konsesi MyRapid juga percuma, namun proses ini akan mengambil sedikit masa kerana ia melibatkan pengesahan status pemegang kad konsesi, seterusnya mengambil gambar sebelum mencetak pada kad konsesi baharu.

Keutamaan akan diberikan kepada warga emas dan orang kelainan upaya dimana proses penukaran kad konsesi mereka hanya mengambil masa kira-kira 15 minit.

Pemegang kad konsesi pelajar pula, proses penukaran dijangka mengambil masa kira-kira dua jam bergantung kepada bilangan orang ramai. “Nombor giliran akan terus diberi sehingga jam 7malam. Pelajar digalakkan untuk merancang waktu penukaran kad konsesi meraka,” tambah Lim lagi.

Petugas di pusat penukaran kad konsesi akan memaklumkan waktu menunggu kepada pelajar ketika mereka mengambil nombor giliran. Sehingga ke hari ini, sejumlah 75,000 pemegang kad MyRapid SVT dan hampir 14,000 pemegang kad konsesi telah menukar kad mereka kepada kad baharu yang bercirikan Touch ‘n Go.

"Pemegang kad MyRapid yang telah menukar ke kad baharu akan dapat menikmati perjalanan dengan lancar antara perkhidmatan Rapid KL, termasuk Laluan MRT Sungai Buloh - Kajang.

“Kami sangat menggalakkan pengguna yang tidak menggunakan perkhidmatan MRT Sg Buloh – Kajang untuk menukar kad nilai simpanan MyRapid kerana kad ini akan ditamatkan penggunaannya.

Pemegang kad konsesi Rabbit tidak perlu menukar kad mereka kerana kad tersebut sudah bercirikan platform Touch ‘n Go. Pengguna disaran untuk menyemak tempoh sah kad konsesi Rabbit mereka di mana-mana kaunter pusat khidmat pelanggan di dalam rangkaian LRT dan MRT.

Menteri Kerja Raya Kesal Syarikat Bina Terowong Pulau Pinang Guna Namanya..


Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof kesal syarikat konsesi yang ditawarkan projek terowong dasar laut dan 3 projek jalan utama bernilai RM6.34 bilion cuba menggunakan nama beliau dan kementerian untuk mempertahankan diri berhubung isu terlebih bayar bayaran perunding.

Fadillah dalam kenyataannya berkata, beliau dalam beberapa kenyataan sejak tahun lepas mengingatkan syarikat itu dan membangkitkan jumlah kos kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk bagi projek tersebut iaitu RM305 juta adalah terlalu tinggi, termasuk kenyataannya pada 30 Mac.

Menurut Fadillah, taklimat yang disampaikan oleh Kerajaan Pulau Pinang kepada kementerian April lalu adalah gambaran keseluruhan projek termasuk penjelasan mengapa kajian kebolehlaksanaan mengenai bahagian terowong projek yang sudah lama dijanjikan itu ditangguhkan.

fadillah zarul Consortium Zenith Dihentam Menteri Kerja Raya Kerana Cuba Guna Nama Mereka Untuk Pertahankan Lim Guan Eng
“Kos terperinci mengenai projek bukan sebahagian daripada perbincangan ini,” katanya ketika syarikat tersebut (The Consortium Zenith Construction Sdn Bhd) dilapor menafikan mereka terlebih bayar kos perunding bagi projek tersebut yang menelan belanja RM305 juta,” katanya.

Pengerusi Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Datuk Zarul Ahmad Zulkifli juga mendakwa tidak ada kenyataan, komen atau ulasan negatif dibangkitkan oleh menteri, JKR dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengenai isu itu apabila mereka membuat penyampaian sepenuhnya mengenai kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci (FSDD) dan penilaian kesan alam sekitar (EIA) kepada kementerian pada April.

Fadillah berkata kementerian berpegang kepada pendapat profesional Lembaga Jurutera yang membuat pengiraan di mana bayaran maksimum yang dibenarkan berdasarkan skala harga ialah RM41 juta bagi 3 projek utama jalan raya di Pulau Pinang.

lim guan eng Kerajaan DAP Pulau Pinang Mahu Kata Lembaga Jurutera Malaysia Tipu?
“Sejumlah RM177.5 juta yang dibayar oleh kerajaan negeri untuk tujuan ini iaitu 4 kali ganda bayaran maksimum mengikut skala bayaran yang diwartakan.

“Sila ambil perhatian, RM177.5 juta ini tidak termasuk sebarang bayaran untuk terowong itu sendiri kerana kajian untuk ini belum selesai tetapi sudah dibayar,” kata Fadillah.

Beliau berkata untuk mengelakkan keraguan, Lembaga Jurutera iaitu badan berkanun tunggal akan mengawal skala bayaran yang diwartakan bagi kerja sivil di negara ini.

Ini diperuntukkan di bawah Akta Pendaftaran Jurutera 1967 (Akta 138).

Pembinaan terowong dasar laut adalah sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan DAP untuk mengatasi masalah kesesakan lalulintas di pulau itu.

Wednesday, June 28

DELEGASI 49 KAPTEN TREN BERLEPAS KE MEKAH UNTUK OPERASI TREN HAJI MMMSL


Persiapan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi mengendalikan operasi perkhidmatan tren haji Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) di Tanah Suci Mekah musim ini semakin rancak dengan penghantaran kumpulan kedua Kapten tren seramai 49 orang di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang hari ini.

Mereka akan menyertai 50 orang pemandu tren Malaysia yang sudahpun berada di Depoh MMMSL di Arafah sejak bulan Mei lepas untuk menjalani latihan dan menguji 15 set tren 12 gerabak yang akan digunakan untuk operasi yang khusus dijalankan pada musim haji selama tujuh hari mulai 29 Ogos ini.

Sementara 49 orang Kapten tren yang berlepas hari ini adalah daripada yang sedia berkhidmat dengan Rapid Rail untuk perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, Laluan Kelana Jaya, Laluan Monorel dan Laluan MRT Sungai Buloh – Kajang, kumpulan 50 yang sudah berada di Depoh MMMSL sekarang adalah bekas pemandu dan pesara yang pernah berkhidmat dengan Rapid KL, STAR-LRT dan KTM.

Selain 50 Kapten tren ini, turut sudah berada di Depoh MMMSL sekarang sejak April lepas adalah pasukan pengambilan staf tempatan Arab Saudi seramai 21 orang, yang dipertanggungjawabkan untuk mengambil dan melatih 6,600 pekerja tempatan untuk kerja-kerja mengawal penumpang MMMSL musim ini.

Untuk operasi musim ini, Kapten-kapten tren dari Malaysia ini akan disokong oleh 24 Kapten tren Arab Saudi, yang dilatih oleh Akademi Rel, Rapid Rail di Kuala Lumpur tahun lepas, yang mana telahpun mula berkhidmat dengan MMMSL sejak operasi tahun lepas.

Turut serta dalam delegasi yang berlepas pada hari ini adalah dua jurulatih Kapten Tren, 8 staf untuk operasi stesen dan seorang pelukis kejuruteraan serta seorang pengurus untuk kawalan penumpang.

Majlis penghantaran ini telah diketuai oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Dato’ Sri Azmi Abdul Aziz, yang diiringi oleh Puan Masnizam Hisham, Ketua Pegawai Eksekutif, Prasarana Integrated Management & Engineering Services (PRIME), yang merupakan anak syarikat Prasarana dan pemegang kontrak mengendalikan operasi dan penyelenggaraan aset dan fasiliti MMMSL.

Kontrak untuk tempoh tiga tahun itu telah dianugerahkan kepada PRIME pada tahun 2015 dengan anak syarikat Prasarana itu mengambil alih tugas yang sebelum ini dijalankan oleh China Railway Construction Corporation (CRCC) sejak perkhidmatan MMMSL ini diperkenalkan di Tanah Suci Mekah pada tahun 2010.

Sampai di Mekah, kesemua Kapten tren, yang akan menginap di kuarters kakitangan di Depoh MMMSL, ini perlu menjalani latihan khas selama lima hari sebelum dikehendaki pula 40 jam pemanduan tren bagi melayakkan beliau untuk berkhidmat pada musim haji nanti.

Operasi MMMSL untuk musim haji 2017 ini akan bermula pada 29 Ogos dan berakhir pada 4 September bersamaan dengan 7 Zulhijjah hingga 13 Zulhijjah. Kerja-kerja penyelenggaran tren, stesen dan fasiliti lain, bagaimanapun, berjalan sepanjang tahun.

Seramai 350,000 pemegang tiket akan menggunakan perkhidmatan MMMSL dan mereka akan bergerak pada masa yang sama mengikut ibadat dalam rukun-rukun haji – wukuf di Padang Arafah, bermalam di Mina dan melontar di Jamrah.

Mereka yang menggunakan perkhidmatan ini adalah dari negara-negara Timur Tengah dan rantau Asia Selatan termasuk India, Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka. Para jemaah Malaysia tidak menggunakan perkhidmatan ini kerana kedudukan khemah mereka di Mina yang terlalu jauh daripada jajaran MMMSL ini.

Dengan jajaran sepanjang 18.1km dengan sembilan stesen yang menghubungkan Arafah, Mina dan Jamrah, operasi tren diseliakan oleh Pusat Kawalan Operasi serba canggih, yang terletak di Arafah.

Monday, June 26

WARGA @MyRapidKL BERKORBAN UNTUK RAKYAT MALAYSIA

Ramai diantara kita masih bercuti serta meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga serta rakan taulan. Tapi bagi Warga Rapid KL mereka berkorban hari raya mereka bagi memastikan Komuter mendapat perkhimatan terbaik dimusim perayaan.

Datuk Seri Azmi Abdul Aziz CEO Prasarana berkongsi dilaman FaceBook  beliau gambar warga Prasarana menjalankan tugas di hari raya.

Wednesday, June 21

PUSAT MENUKAR KAD KONSESI MYRAPID DITAMBAH @MyRapidKl @prasaranaCEO


Bermula hari ini pemegang kad konsesi MyRapid boleh menukar kad konsesi mereka di pusat penukaran tambahan di Stesen LRT Subang Jaya bagi Laluan Kelana Jaya dan Stesen LRT Awan Besar di Laluan Sri Petaling. Pusat ini dibuka sebagai tambahan kepada pusat sedia ada di Hab Bas Pasar Seni.

Menurut jurucakap Rapid KL, Lim Jin Aun, waktu operasi di ketiga-tiga pusat ini turut dipanjangkan dari jam 7.00pagi hingga 7.00mlm.

Namun pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri terdapat perubahan operasi seperti berikut;

i) Hab Bas Pasar Seni;

       a) 24 Jun 2017 – 26 Jun 2017; waktu operasi bermula 9pagi – 5 petang
       b) 27 Jun 2017 hingga 15 Julai 2017; waktu operasi bermula 7pagi – 7 mlm


ii) Stesen LRT Subang Jaya dan Awan Besar;

      a) 21 Jun 2017 – 24 Jun 2017; 9pagi – 5 petang
      b) 25 Jun 2017 – 27 Jun 2017; kaunter ditutup
      c) 27 Jun 2017 hingga 15 Julai 2017; waktu operasi bermula 7pagi – 7 mlm

Kaunter tambahan ini hanya menerima proses pertukaran kad konsesi MyRapid sahaja. Permohonan untuk kad konsesi baharu hanya boleh dibuat di  kaunter Hab Bas Pasar Seni sahaja.

Sebagai penambahbaikan proses penukaran ini, nombor giliran akan dikeluarkan sehingga pukul 7malam. Sekiranya waktu menunggu berlarutan sehingga ke lewat petang, pelanggan akan diberi pilihan untuk memungut kad konsesi mereka pada hari berikutnya.

Pengguna hanya perlu mengikuti tiga langkah mudah untuk menukar kad konsesi, langkah pertama, dapatkan nombor giliran dan orang Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) TnG di kaunter nombor satu.

Langkah kedua, sila tunggu sehingga no giliran anda dipanggil untuk sesi mengambil gambar di kaunter nombor dua, seterusnya proses mencetak kad konsesi baharu akan dijalankan.

Langkah terakhir sila bawa kad konsesi yang lama dan baharu ke kaunter nombor tiga untuk proses pemindahan baki.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat terkini atau berhubung dengan pegawai perkhidmatan pelanggan menerusi platform facebook/twitter MyRapid atau hubungi talian bantuan 03-7885 2585.

Monday, June 19

PRASARANA BERSEDIA UNTUK APA JUA CABARAN JAYAKAN OPERASI HAJI MEKAH


Menjelang operasi musim ketiga yang bakal bermula pada Ogos ini, warga kerja yang berkhidmat untuk Al Mashaaer Al Mugaddasah Metro Southern Line (MMMSL) diingatkan supaya sentiasa bersedia untuk apa jua cabaran bagi memastikan perkhidmatan tren haji itu berjalan lancar dan cemerlang.

Memasuki operasi tahun ketiga kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), MMMSL dijangkakan oleh para pemegang taruhnya untuk mengatasi tahap perkhidmatan musim lepas, yang diraikan oleh Kerajaan Arab Saudi sebagai operasi dan perkhidmatan yang terbaik dalam sejarah perkhidmatan tren haji itu sejak diperkenalkan pada 2010.

Ketika membuat saranan berkenaan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Dato’ Sri Azmi Abdul Aziz, yang membuat lawatan singkat ke depot MMMSL di Arafah dan pangsapuri penginapan para pegawai dan kakitangan di Awali di sini, berkata mereka yang diberikan amanah untuk melaksanakan tugas ini perlu menyiapkan diri bagi menghadapi apa jua cabaran bagi memastikan projek MMMSL kendalian Prasarana ini terus cemerlang.

“Paling penting, kita perlu melihat bahawa kerja yang kita lakukan di sini bukan sekadar satu kerja biasa. Tetapi, perlu diniatkan sebagai ibadah untuk menyediakan kemudahan kepada saudara-saudara jemaah untuk melakukan ibadat haji mereka dengan lancar. Dan, dalam melaksanakan tugas ini, kita akan menghadapi pelbagai cabaran termasuk cabaran-cabaran baru.

“Tahun pertama, cabaran terbesar kita adalah kesuntukan masa untuk persiapan; manakala tahun kedua pula, Alhamdulillah, kita mempunyai masa yang lebih panjang untuk persiapan dan menyelenggarakan kerja walaupun menghadapi cabaran-cabaran yang berbentuk lain di sini (Mekah) dan operasi di Malaysia. Tahun ini, besar kemungkinan, kita akan diuji lagi dengan cabaran-cabaran baru,” kata Dato’ Sri Azmi pada majlis berbuka puasa dengan staf, yang diadakan di sini semalam.

Lebih 100 orang pegawai dan kakitangan menghadiri majlis yang menghidangkan Nasi Arab sebagai menu utama; dengan majoriti daripada mereka akan meraikan Hari Raya Aidil Fitri di Mekah dan berjauhan daripada anggota keluarga dan sahabat handai.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Ketua Pegawai Eksekutif PRIME (Prasarana Integrated Management & Engineering Services), Puan Masnizam Hisham; Pengarah Urusan PRIME – Arab Saudi, Haji Ahmad Jamaluddin Salleh; dan Haji Muhamad Burhanordin Ismail, yang merupakan Pengarah Operasi MMMSL.

Walaupun operasi MMMSL adalah hanya untuk tujuh hari pada musim haji, kerja-kerja penyelengaraan tren serta persiapan berjalan sepanjang tahun termasuk pengambilan para pekerja tempatan Arab Saudi dan memberi latihan kepada mereka, yang dijalankan oleh staf dan kakitangan Prasarana dan anak-anak syarikatnya.

Untuk tahun ini, Prasarana turut mengambil strategi untuk terlalu bergantung kepada staf dalaman khususnya daripada Rapid Rail dengan pengambilan para pesara dan bekas staf yang berpengalaman dalam operasi tren daripada Rapid Rail dan KTM serta sokongan guna tenaga daripada ERL.

Proses pengambilan staf tempatan Arab Saudi bermula sejak April lepas di mana Prasaerana menerima lebih 40,000 permohonan untuk kira-kira 6,600 pelbagai jawatan kerja ketika operasi haji khususnya untuk kawalan para penumpang di stesen-stesen, mencuci dan keselamatan. Seramai 350,000 pemegang tiket akan menggunakan perkhidmatan MMMSL dan mereka akan bergerak pada masa yang sama mengikut ibadat dalam rukun-rukun haji – wukuf di Padang Arafah, bermalam di Mina dan melontar di Jamrah.

Operasi MMMSL untuk musim haji 2017 ini akan bermula pada 29 Ogos dan berakhir pada 4 September bersamaan dengan 7 Zulhijjah hingga 13 Zulhijjah.

Selain proses pengambilan dan latihan staf tempatan, warga kerja MMMSL juga sedang giat menjalankan pengujian tren sebelum memulakan siri latihan simulasi pelbagai senario bulan depan termasuk dua sesi latihan integrasi bersama-sama dengan agensi kecemasan awam Arab Saudi pada 23 dan 24 Ogos ini.

Friday, June 9

Tukar Kad #MyRapid


Tukar kad MyRapid anda untuk perjalanan lebih lancar di Stesen LRT, Monorel, BRT dan MRT. Untuk maklumat lanjut, layari laman web kami atau berhubung dengan kami di laman sosial. Kongsikan maklumat ini ! #rapidkl

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive