Monday, August 31

PENGORBANAN DEMI MALAYSIA TERCINTA #MakkahMetro @NajibRazak @azmiaziz60 @MyRapidKL


Mereka mungkin berada di perantauan dan berkhidmat beribu-ribu batu daripada tanah air. Namun, hati dan semangat mereka tetap kepada tanahair khususnya di ambang sambutan Hari Kemerdekaan yang ke 58 hari ini.

Berkhidmat di Mekah untuk operasi perkhidmatan rel Al Mashaaer Al Mugaddassah Makkah Metro, mereka memulakan latihan simulasi 24 jam bagi memastikan para jemaah haji dari seluruh dunia menikmati perjalanan yang selesa dan mudah ketika menunaikan haji nanti.

“Kami di sini bukan sahaja untuk Prasarana, tetapi untuk Malaysia dan saudara-saudara Islam kami di seluruh dunia. Untuk Malaysia yang bakal meraikan Hari Kemerdekaan ke 58, kami mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan.

“Komitmen kami di sini kepada negara adalah untuk menghasilkan tugas yang sebaik mungkin demimemertabatkan nama Malaysia di pentas antarabangsa,” kata Muhammad Fardzreen Abdul Razak, yang ditugaskan di Mekah sejak Mei lepas.

Bertugas sebagai eksekutif bahagian kesihatan dan keselamatan pekerja, Fardzreen, berkata bekerja di perantauan di Tanah Suci Mekah tentunya mengharungi cabaran khususnya dari aspek cuaca dan senarai tugas yang perlu dilaksanakan dalam masa singkat.

“Saya antara anggota kumpulan yang awal datang ke sini. Di kalangan kami, ada yang terlibat secara langsung dalam proses penerimaan segala aset berkaitan dengan operasi tren daripada pengendali terdahulu. Semua barang dan aset perlu diperiksa dan didokumenkan sebelum urusan seterusnya boleh dijalankan.

“Alhamdulillah, berkat usaha gigih dan kerjasama erat semua rakan-rakan di sini serta doa rakan-rakan kami di Malaysia, segala persiapan berjalan lancar dan kini, kita sudah sampai ke fasa latihan terakhir iaitu latihan simulasi 24 jam yang bermula hari ini,” tambah Fardzreen, yang berasal dari Ulu Klang, Kuala Lumpur.

Seperti rakannya Muhammad Fardzreen, Encik Hamdan Mat Isa daripada Bahagian Operasi Tren (Train Operations) turut melahirkan rasa syukur kerana mendapat peluang bertugas di Tanah Suci Mekah Mukarammah.

“Ini bukan saja peluang untuk menambah pendapatan syarikat tetapi, turut menaikkan imej Malaysia di persada dunia kerana mereka yang menunaikan fardhu haji nanti tidak melihat kita sebagai staff Prasarana tetapi duta Malaysia,” katanya.

Noor Hafiezie Adli Noorjali dari Bahagian Tren (Rolling Stock) menganggap peluang bertugas di Makkah Metro memberi peluang kepada staf Prasarana mempamerkan kepada dunia untuk memperkasakan budaya tinggi Malaysia yang berbudi bahasa dan bertoleransi tinggi.

Pegawai keselamatan, Muhammad Izhar Ratiban, 27, pula melihat projek mengendali dan menyelenggara perkhidmatan Al Mashaaer Al Mugaddassah Makkah Metro menjadi platform kepada rakyat Malaysia mempamerkan kebolehan mereka mengendalikan operasi tren yang paling mencabar di dunia.

Dibina oleh China Railway Construction Consortium (CRCC) pada 2009, projek Al Mashaaer Al Mugaddassah Makkah Metro mula beroperasi sepenuhnya pada 2010 dengan dikendalikan oleh syarikat dari negara China itu sehingga tahun lepas sebelum kontrak operasi dan penyelenggaraan dianugerahkan kepada Prasarana pada Mei lepas.

Seramai 300 staf dan kakitangan Prasarana ditempatkan sementara di Tanah Suci Mekah bagi mengendalikan projek ini disokong oleh kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Express Rail Link (ERL).


Beroperasi hanya tujuh hari setahun pada musim haji, perkhidmatan Al Mashaaer Al Mugaddassah Makkah Metro menghubungkan Jamarat, Mina, Mudzalifah dan Arafah, yang merupakan lokasi-lokasi wajib dalam menyempurnakan urusan haji.

Mengulas persiapan menjelang operasi sebenar bermula 7 Zulhijjah nanti, Pengarah Projek Al Mashaaer Al Mugaddassah Makkah Metro, Haji Khairani Mohamed memuji dedikasi dan komitmen staf dan kakitangan yang bertugas di Mekah.

“Cabaran terbesar yang kami hadapi adalah tempoh masa yang singkat daripada masa penyerahan aset kepada hari operasi. Namun, mereka di sini telah bekerja keras untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing untuk sampai ke peringkat ini.

“Hari ini bermula latihan simulasi 24 jam terus menerus sehingga bermula hari operasi. Kita sudahpun selesai fasa menguji tren dan juga sesi operasi ujian atau ‘trial ops’. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan baik.

“Berdasarkan apa yang saya lihat daripada kesungguhan dan dedikasi staf-staf saya di sini, saya yakin latihan simulasi 24 ini juga akan berjalan dengan baik seperti direncanakan. Kami sudah bersedia untuk memastikan perkhidmatan yang sebaik mungkin demi menaikkan mertabat Malaysia.

“Kejayaan projek ini adalah penting untuk keselesaan jemaah haji dari seluruh dunia dan juga Malaysia bagi membuka pintu kepada peluang-peluang perniagaan baru kepada syarikat-syarikat tanahair. Sukses projek ini adalah lambang semangat patriotik kami di Prasarana,” tambah Khairani, yang pernah bertugas sebagai jurutera Tentera Udara Diraja Malaysia.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive