Wednesday, March 25

BILA HUDUD DIPOLITIKKAN!!!! Hadi tidak bermaruah...........?


Secara ringkas keputusan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP malam Selasa lalu ialah parti itu tidak mengiktiraf Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang sebagai presiden PAS, tetapi masih mahu kekal dalam Pakatan Rakyat.

Memang keputusan itu agak 'janggal dan pelik' kerana pada satu sisi DAP mahu kerjasama dan manfaatkan kekuatan pengaruh politik PAS membantunya mencapai cita-cita memerintah Malaysia, tetapi di sisi lain tidak mahu bekerjasama Hadi.

Namun sebagai satu kenyataan politik, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng secara berlapik mengakui bahawa pendirian partinya meletakkan Pakatan Rakyat  dalam keadaan 'di awang-awangan'.

Keputusan mesyuarat empat jam itu nampaknya boleh dibaca sarat dengan hemah, strategi dan helah politik. Mungkin DAP  berasa ia perlu memberi 'tekanan dan isyarat jelas' kepada rakyat amnya dan ahli-ahli PAS khususnya, presiden mereka tidak layak masuk dalam jemaah Pakatan Rakyat.

Setelah membuat keputusan itu, CEC parti itu mengatur mesyuarat khas dengan PKR untuk memperjelaskan pendirian dan strategi DAP mahu memutuskan hubungan dengan presiden PAS tapi masih mahu bekerjasama dengan ahli dan jentera politik PAS.

Namun yang agak menggusarkan ialah bait-bait kata yang digunakan oleh pemimpin DAP itu untuk menjustifikasikan pendirian partinya terhadap Hadi yang hampir pasti 'melukakan hati' dan maruah diri  sesiapa jua di kerusi Hadi.

Tidak tahulah bagaimana dan sedalam mana kenyataan yang dihamburkan Guan Eng ini akan mengusik sentimen dan wala’ ahli-ahli PAS terhadap presiden mereka sejak 13 tahun lalu itu. Antara lain kenyataan Gua Eng berbunyi:

"DAP tidak boleh berkerjasama dengan Presiden PAS seperti Hadi Awang yang tetap bertindak secara tidak jujur dan tidak bermaruah.

"DAP hilang kepercayaan dan keyakinan pada Hadi sebagai pemimpin Pakatan Rakyat dan akan memutuskan hubungan serta menghentikan kerjasama dengan beliau.

"Oleh kerana Hadi adalah pemimpin PAS dalam PR, keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Hadi secara efektif akan meletakkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam keadaan terawang-awang.

"DAP akan bertemu dengan kepimpinan PKR untuk membincangkan nasib Pakatan Rakyat pada masa depan."

Yang pasti tentu ramai pemimpin dan penyokong PAS akan tersinggung betapa imam mereka dikatakan tidak jujur dan tidak bermaruah hanya kerana beliau (Hadi) mahu membentangkan Rang Undang undang Hudud Kelantan di parlimen.

Bolehkah pengikut-pengikut PAS (dan Hadi) menerima rumusan DAP bahawa oleh kerana mahu mencapai impian politik PAS melaksanakan hukuman yang disyariatkan Allah maka Hadi dilabel DAP sebagai tidak bermaruah?

Adakah DAP berkira bahawa ahli-ahli PAS akan tertunduk malu kerana berimamkan seorang pemimpin yang tidak jujur?

Atau, adakah DAP sebenarnya cuma mahu mencabar golongan dalam PAS yang memang semakin terbuka menyatakan bahawa mereka tidak selesa dengan cara kepimpinan Hadi supaya melakukan sesuatu dan meminggirkan Hadi daripada kepimpinan PAS?

Mungkinkah dalam congakan DAP kumpulan yang digelar Erdogan dalam pimpinan PAS sudah bersedia untuk menjadikan cercaan DAP terhadap presiden PAS sebagai hujah kempen mengapa mereka wajib menolak Hadi?

Adakah kenyataan yang disusun oleh pemimpin-pemimpin DAP selama empat jam itu dipacu oleh keyakinan bahawa ini akan merangsang golongan Erdogan (seperti yang dibuktikan tindakan mufarakah pimpinan PAS Kawasan Batu) untuk bangkit menjatuhkan Hadi pada muktamar dua bulan lagi?

Bolehkah disimpulkan bahawa pendirian DAP itu sebenarnya kata dua kepada pemimpin-pemimpin dan penyokong PAS bahawa jika mereka menyokong Hadi, bererti mereka juga 'tidak jujur dan tidak bermaruah'?

Hadi musuh utama Pakatan?

Sebaliknya, mungkinkah mesej tersirat di sebalik pendirian DAP itu ialah, jika mereka 'menggugurkan' Hadi daripada saf kepimpinan PAS Jun nanti, mereka dapat saham untuk memerintah Malaysia bersama DAP dan PKR selepas pilihanraya umum ke-14 kelak?

Kecenderungan DAP untuk mengambil langkah 'memburukkan personaliti Hadi' ini sudah diisyaratkan oleh seorang daripada dua ahli parlimen Islam dalam DAP iaitu Zairul Khir Johari sehari sebelum itu.

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu membayangkan bahawa Pakatan Rakyat tiada masa depan selagi Hadi menjadi Presiden PAS sekaligus melontarkan rumusan bahawa musuh utama pakatan itu kini ialah Hadi.

Beliau berhujah bahawa Hadi sering bertindak sendirian dalam beberapa isu serta melanggar ketetapan Pakatan Rakyat. Yang terbaru, katanya, Hadi dikesan menghantar usul kepada Setiausaha Parlimen, agar Akta Mahkamah Syariah (Akta 355) dipinda bagi membolehkan pelaksanaan hudud di Kelantan.

Hadi berbuat demikian sebaik sahaja DUN Kelantan  meluluskan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 pada 19 Mac lalu.

"Tindakan secara unilateral itu bukan sahaja bercanggah dengan Dasar Bersama Pakatan Rakyat, malah tidak menghormati keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 8 Februari 2015 yang dihadiri Abdul Hadi sendiri," ujar Zairil.

"Abdul Hadi menghantar pemberitahuan kepada Setiausaha Dewan Rakyat untuk membentangkan rang undang-undang persendirian yang bertujuan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi membenarkan pelaksanaan enakmen hudud di Kelantan.

"Justeru, tindakan Presiden PAS untuk mengemukakan rang undang-undang persendirian ini boleh dianggap sebagai satu pengkhianatan muafakat Pakatan Rakyat, lantas menimbulkan persoalan sama ada gabungan politik tiga parti ini boleh terus berkekalan,” katanya.

Zairil juga mengungkit tentang enam kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu iaitu Parlimen Labuan, DUN Sungai Acheh, DUN Kota Damansara, DUN Pantai, DUN Kota Putera, DUN Bukit Besi dan DUN Seberang Takir.

Ketujuh-tujuh kerusi itu dikatakan adalah ‘bukti pengkhianatan’ PAS (Hadi) apabila meletakkan calon pada saat terakhir melalui watikah yang ditandatangani oleh Hadi sedangkan ia sepatutnya ditandingi oleh PKR.

Natijahnya, kesemua tujuh kerusi itu di menangi Umno BN.

"Pada pendapat saya, selagi dalang-dalang pengkhianatan ini masih kekal berkuasa dalam PAS, tiadalah masa depan bagi Pakatan Rakyat," ujar Zairil.

Bersetujukah ahli-ahli PAS dengan rumusan Zairil ini? Kini sudah rasmi bahawa DAP mencabar keyakinan dan harga diri setiap lapisan pimpinan dan penyokong PAS. Mahu pilih kuasa (bersama PKR dan DAP) atau terus setia pada Hadi?

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive