Wednesday, May 28

MKP Stand-Down : Al-Fatihah Buat KDYMM Sultan Perak.


Apabila seorang Raja Pemerintah mangkat maka adalah menjadi tanggungjawab dan kerja Setiausaha Dewan Negara Perak dan Setiausaha Kerajaan Negeri mengumumkan perkara yang menyedihkan itu kepada semua Raja-Raja, Orang Besar-Besar dan rakyat jelata.

Setiausaha Dewan Negara Perak juga akan memanggil suatu mesyuarat khas bagi semua ahli-ahli Dewan Negara untuk bersidang mengenai istiadat-istiadat kemangkatan, pemakaman dan berkabung selepas berdatang menghadap Duli Tuanku Raja Perempuan.

Semboyan akan dipasangkan dengan bilangan tembakan das mengikut usia Almarhum, iaitu satu das bagi setahun. Biasanya semboyan kemangkatan dipasang di sebelah malam selepas pukul sepuluh, dan apabila kedengaran bunyi meriam, maka alamat tanda mengkatnya Raja Pemerintah.

Lazimnya, Raja Muda atau Raja Di Hilir dan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja akan mengetuai segala pekerjaan terhadap Istiadat Kemangkatan dan Istiadat Pemakaman. Pekerjaan membuat usungan atau pedati yang dinamakan 'Seraja Diraja' atau 'Raja Diraja' akan dimulakan secepat mungkin.Jenazah Almarhum itu dimandi dan dikafankan oleh para alim ulama dan diletakkan Seri Balai, Istana Iskandariah untuk Istiadat Pemasyhuran Raja Pemerintah Baru.

Pemilihan Raja Pemerintah baru dibuat dalam mesyuarat khas Dewan Negara Perak yang dihadiri oleh anggota-anggotanya. Lazimnya, istiadat pemasyhuran dilangsungkan di sebelah pagi dan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja akan mengumum nama Raja Pemerintah baru dan membaca perisytiharan pemasyhuran itu.

Majlis kemudian diikuti laungan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali daripada semua hadirin yang berada dalam Seri Balai. Tembakan meriam 21 das akan dilepaskan. Istiadat pemasyhuran Raja Pemerintah baru hendaklah diadakan sebelum Istiadat Memberi Penghormatan Terakhir dan Istiadat Pemakaman.

Setelah selesai Istiadat Pemasyhuran Raja Pemerintah baru, jenazah Almarhum dibawa dan diletakkan di atas persada khas empat segi tujuh tingkat bersalut kain kuning dengan pegawai tentera darat, udara dan laut serta polis berkawal di keempat-emapat penjurunya.

Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang Kehormatan Almarhum disusun di sekliling aras lima persada yang dibina di pertengahan Balairong Seri atau Dewan Santapan di istana Iskandariah. Bacaan ayat suci al-Quaran berkumandang di ruang itu ketika kerabat diraja, Orang Besar-Besar, orang kenamaan dari dalam dan luar negara serta orang kebanyakan memberikan penghormatan terakhir mereka kepada Almarhum.

Istiadat Memberi Penghormatan Terakhir kepada jenazah Almarhum lazimnya berlangsung selama beberapa jam sahaja dan tempoh ini ditetapkan oleh Dewan Negara Perak dengan kerjasama pihak Kerajaan Negeri. Cara berpakaian untuk istiadat ini ialah baju Melayu hitam bersamping hitam dan bersongkok yang berbelit dengan kain putih selebar 2.5 cm di tengah-tengah songkok.

Kerabat diraja, Orang Besar-Besar Negeri dan bentara-bentara akan bertengkolok putih. Orang kebanyakan berpakaian lounge suit hitam dan bersongkok dengan kain putih yang telah disebutkan di atas. Kaum wanita berpakaian baju kurung hitam dan berselendang putih (untuk Melayu) atau hitam (untuk lain-lain bangsa). Ketika memberi penghormatan terakhir, mereka yang beragama Islam turut mengambil peluang berdoa supaya Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum.

Selepas istiadat memberi penghormatan terakhir maka persiapan akan dijalankan untuk mengusungkan jenazah ke luar dari istana dengan pedati khas ke Masjid Ubudiah untuk disembahyangkan. Orang ramai boleh datang untuk menziarahi mahupun menyaksikan Istiadat Pengiringan Jenazah Almarhum dari Istana Iskandariah ke Masjid Ubudiah.

Ada pula yang datang mengiringi jenazah Almarhum diarak di atas pedati dalam perjalanan ke masjid.Selepas jenazah disembahyangkan, biasanya oleh Mufti Kerajaan Negeri, maka jenazah akan dibawa untuk disemadikan dengan penuh adat istiadat yang dikenali sebagai Istiadat Pemakaman.

Pada kelazimannya, istiadat ini dihadiri oleh kerabat diraja, Orang Besar-Besar dan orang kenamaan, dan mereka akan menyaksikan jenazah Almarhum diturunkan ke dalam liang lahad yang telah disediakan sebaik sahaja tersiarnya berita mengenai kemangkatan Almarhum.

Bacaan talkin dan doa akan diketuai oleh Mufti Kerajaan Negeri, dan sebaik sahaja talkin dan bacaan doa selesai, tembakan meriam dengan bilangan das berdasarkan usia Almarhum dilepaskan.

Istiadat kemudian disusuli dengan menabur bunga rampai dan menyiram air mawar ke atas makam Almarhum dengan didahului oleh Raja Pemerintah baru, isteri gahara Almarhum, dan lain-lain kerabat diraja mengikut protokol yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan Negeri.

Pada zaman dahulu, Istiadat Berkabung dilaksanakan dengan setiap orang lelaki dalam istana bercukur dan wanita berkerat rambut. Kini, istiadat berkabung cuma ada berkaitan dengan peraturan pakaian dan pembatalan acara rasmi sahaja.

Tempoh perkabungan akan ditetap dan disiarkan oleh pihak Kerajaan Negeri, dan dalam tempoh ini bendera Negeri Perak hendaklah dinaikkan setengah tiang, acara-acara rasmi yang dikelolakan oleh pihak Kerajaan Negeri dikehendaki dibatal atau ditunda kepada suatu tarikh yang lain selepas tempoh perkabungan itu.

Majlis-majlis bercorak hiburan, nyanyian dan tarian juga wajib dibatalkan. Dua buah gendang nobat dan dua buah gendang nengkara akan dibalut dengan kain putih sebagai tanda penghormatan kemangkatan Almarhum.

Segala pawai kerajaan Negeri seperti lembing kerajaan, paying kerajaan, keris dan pedang kerajaan juga dikehendaki diikat dengan lapisan kain putih. Dalam tempoh berkabung, kerabat diraja lelaki berpakaian baju Melayu hitam dan bertengolok putih ikat solek.

Kaum lelaki Melayu daripada orang kebanyakan memakai baju Melayu dengan bersongkok hitam yang berbelit kain putih selebar 2.5 cm. Lelaki daripada bangsa lain boleh berpakaian lounge suit atau baju kemeja berlengan panjang dan bertali leher hitam atau warna gelap tanpa bercorak serta memakai toha hitam selebar 8 cm di lengan kanan.

Kaum wanita Melayu berbaju dan berkain hitam atau warna lain yang gelap dan berselendang mahupun bertudung putih. Wanita berbangsa lain juga berpakaian hitam atau gelap dan berselendang hitam.Untuk Paduka Seri Sultan, tempoh perkabungan ialah 100 hari, manakala untuk Raja Muda 40 hari, Raja Di Hilir 7 hari dan Raja-Raja Bergelar 5 hari.

Untuk Raja Perempuan mahupun Raja Permaisuri hendaklah berkabung selama 40 hari, dan Raja Puan Besar 14 hari, Raja Puan Muda 7 hari serta isteri-isteri lain Paduka Seri Sultan tidak melebihi 7 hari dan ditetapkan oleh Tuanku Paduka Seri Sultan.Selepas seratus hari daripada hari pemakaman berlangsunglah Istiadat Menurunkan Batu Nisan.

Istiadat ini cuma disaksikan oleh kerabat-kerabat yang terdekat sahaja. Batu nisan itu akan dililiti dengan kain kuning mahupun kain putih, kuning dan hitam yang merupakan warna-warna kebesaran kerajaan Negeri Perak.

SUMBER : MEJAR HARDI

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive