Sunday, September 9

HUDUD: PAS & DAP TIDO SEBANTAL MIMPI LAIN-LAIN


Umumnya DAP dan PAS bukan gandingan sesuai dalam pakatan pembangkang kerana kedua-dua parti politik itu mempunyai ideologi dan dasar yang amat berbeza. Keadaan ini menjadi lebih ketara apabila pemimpin parti terbabit membincang soal hukum Islam dan hudud.

Walaupun PAS dianggap terbuka kerana memilih bersahabat dengan Dap, prinsip hukum hudud masih menjadi bualan umum. Apakah PAS dianggap sahabat DAP kerana bersetuju membentuk negara berkebajikan dan menafikan hudud?

Bagi bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata hudud tidak mampu dilaksanakan sekiranya negara masih tidak mampu menyediakan prasarana yang terbaik kepada rakyat. Katanya, undang-undang hudud memerlukan penyusunan rapi untuk dilaksanakan dengan sempurna.


Sambil memberi contoh pelaksanaan hukuman hudud di Nigeria dan Sudan, beliau berkata banyak negara melaksanakan hukum hudud tetapi masih dibelenggui dengan masalah jenayah akibat penyusunan yang tidak betul.

Pandangan Asri itu juga menepati pandangan yang diutarakan ulama terkenal, Syeikh Yusuf Al-Qaradawi bahawa tidak mudah untuk melaksanakan hudud, kecuali dengan persiapan yang cukup di kalangan umat Islam.

Tafsiran kepada keadaan ini, Islam menghendaki penganutnya ‘mengutamakan perkara yang utama, dan menangguhkan perkara kurang utama’, atau yang diistilahkan sebagai Feqh Awlawiyyat.

Tuntutan ini telah dipenuhi dengan jayanya oleh Nabi Muhammad SAW, apabila Baginda hanya memfokuskan kepada aspek dakwah dan tarbiyah semasa berada di Mekah, yang hanya berlegar sekitar dasar-dasar akidah, pengukuhan tauhid, mengkhususkan ibadat hanya kepada Allah, membuang kesyirikan, menjauhi taghut dan menghiasi diri dengan akhlak-akhlak terpuji.

Kesungguhan kerajaan melaksanakan Feqh Awlawiyat secara berhikmah dan terancang dapat dilihat melalui pelbagai program yang sudah dilaksanakan. Selain penerapan nilai Islam menerusi penghantaran berterusan pelajar ke universiti di rantau Timur Tengah, memperbanyakkan pembinaan masjid dan penubuhan sekolah tahfiz dan agama sepenuhnya, penubuhan Bank Islam yang suatu masa dulu pernah menerima kritikan, hari ini terbukti berjaya.

Begitu juga pajak gadai Islam dan insurans Islam, ia disokong oleh kerajaan dan hampir menggantikan pajak gadai dan insurans konvensional dan diterima oleh semua rakyat sama ada Islam atau pun bukan Islam.

Berbanding dengan pemerintahan PAS di Kelantan selama 22 tahun di bawah teraju pimpinan Menteri Besarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bekas Naib Presiden PAS, Datuk Nakhaie Ahmad berkata, sudahlah PAS tidak melaksanakan hukum hudud di negeri itu tetapi turut gagal dalam melaksanakan pentadbiran Islam di negeri itu meskipun mempunyai bidang kuasa dalam beberapa perkara.

"PAS bukan sahaja tidak melaksanakan hukum hudud, tapi pelaksanaan hukum hudud di luar bidang kuasanya.

"Yang saya persoalkan, mengapa PAS di Kelantan masih tidak melaksanakan bidang-bidang kegiatan yang masih di dalam bidang kuasanya? Mengapa tidak melaksanakan sistem pendidikan Islam yang rapi dan mantap?," katanya ketika ditemubual secara eksklusif AntaraPos, baru-baru ini.

Justeru menurut beliau, hukum hudud tidak boleh dilaksanakan secara terburu-buru tanpa membuat sebarang kajian kerana ia dilihat tidak berhikmah dan langsung tidak objektif.

"Apabila kita hendak melaksanakan hukum hudud, dan memberi tumpuan hanya pada hudud, ini bukanlah satu cara yang objektif dan berhikmah untuk pelaksanaan hukum Islam," katanya.

Sementara itu, Nakhaie turut menyelar sikap PAS yang menggunakan isu hudud dan negara Islam sebagai retorik politik bagi memancing undi dan mencari populariti.

"Hukum hudud yang dibicarakan oleh PAS itu hanya retorik sahaja. Lebih dekat kepada persoalan untuk mencari populariti.

"Bagi saya, PAS sendiri tidak bercadang untuk melaksanakan hukum hudud sebagai satu keutamaan di dalam negara kita kerana pelaksanaan itu berhadapan dengan kesulitan dan kepayahan serta tentangan yang hebat dari pelbagai pihak," katanya.

Beliau yang juga bekas pengasas Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) berkata, tindakan PAS yang kerap mencanangkan untuk melaksanakan hukum hudud itu dilihat sebagai satu tindakan yang tidak ikhlas.

"Apabila mereka tidak melaksanakan ini kemudian hanya menimbulkan persoalan hukum hudud, ini adalah satu tindakan yang tidak ikhlas," katanya.

Polemik isu hukum hudud timbul berikutan kenyataan secara berterusan yang dikeluarkan Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh sejak kebelakangan ini. Pelaksanaan hukum hudud merupakan hasrat PAS yang mahu dilaksanakan dalam negara ini namun dibantah keras DAP.

Pendirian tegas PAS dalam perjuangannya untuk menegakkan pemerintahan Islam selama ini menyebabkan masyarakat bukan Melayu berasa takut dan cemas jika parti itu diberi kuasa selepas pilihan raya.

Keadaan ini mendesak pemimpin parti terbabit untuk merangka strategi agar pengundi PAS tidak lagi bimbang dengan perjuangan untuk menegakkan Islam sementara penyokong DAP pula lega dengan bantahan pemimpin parti berkenaan berhubung hasrat rakannya dalam pakatan pembangkang.

Selain itu, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor turut menegaskan parti pimpinan telah membuat ketetapan untuk tidak bersetuju akan pelaksanaan hukum hudud. Karpal berkata pendirian itu tidak pernah berubah sejak sekian lama malah akan terus mempertahankan pegangan tersebut. Beliau berkata demikian dengan berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan yang tidak membenarkan perkara itu dilaksanakan.

Tentunya isu negara Islam dan hudud bukan perkara baru. Ia hanya ulang tayang permainan politik semata-mata untuk memainkan sentimen dan mendapatkan sokongan rakyat. Tidak keterlaluan juga jika menyatakan PAS hanya 'omong kosong' dalam 'berkempen' berkenaan hukum hudud.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive