Thursday, August 18

Pas jangan marah Perkasa



PERTUBUHAN Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mungkin benar apabila mahu mengambil alih tugas mempertahankan kesucian agama Islam selepas Pas dilihat gagal berbuat demikian.

Tetapi Perkasa agak lewat kerana seharusnya ia dilakukan lebih awal lagi kerana Pas sememangnya sudah lama tidak menjadi pejuang Islam sejak bersekongkol dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Namun begitu tahniah kepada Perkasa kerana mempunyai keberanian luar biasa untuk berbuat demikian, satu tindakan yang sudah pasti tidak akan dilakukan oleh Pas.

Pas kini perlu mengakui bahawa parti itu bukanlah pejuang Islam malahan mereka tidak boleh marah dengan tindakan Perkasa untuk mengambil alih tugas berkenaan.

Apatah lagi Pas pun sudah mengisytiharkan bahawa mereka kini memperjuangkan negara berkebajikan dan bukanlah penubuhan sebuah negara Islam - satu perjuangan yang menyaksikan ada nyawa yang terkorban kerananya suatu ketika dulu.

Oleh itu mereka tidak boleh marah dengan tindakan Perkasa, sebaliknya Pas perlu berasa senang hati kerana kini bolehlah mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada perjuangan bagi merebut kuasa politik bersama-sama PKR dan DAP.

Pas tidak perlu lagi bersusah payah untuk mencari ayat-ayat al-Quran atau potongan hadis bagi 'menghalalkan' apa juga tindakan mereka dengan kedua-dua parti berkenaan kerana mereka bukan lagi parti yang memperjuangkan Islam.

Impian dan misi Pas sekarang ialah berbincang dengan PKR dan DAP berapakah jumlah kerusi yang harus mereka tandingi, kalau DAP dan PKR mahu dominan, Pas tidak boleh kata apa-apa kerana jika pembangkang menang dalam pilihan raya akan datang, ia bukannya untuk menubuhkan negara Islam.

Kalau Pas dibiarkan dominan sekali pun, Pas tidak ada apa-apa kekuatan untuk mempertahankan Islam kerana kekuatan sebenar terletak di tangan DAP dan PKR. Ia sudah pun berlaku di Kedah dan Selangor pada masa ini.

Tambahan pula ketika ini sudah tidak terdengar lagi suara-suara Pas untuk menegakkan undang-undang syariah di negara ini, sebaliknya lebih kepada corak pemerintahan yang diinginkan oleh DAP dan PKR.

Mungkin Pas akan mendakwa bahawa Perkasa tidak layak untuk memperjuang dan mempertahankan agama Islam kerana mereka bukan parti politik Islam tetapi hanya NGO Melayu.

Soalnya, apakah Pas sebuah parti Islam? Apakah Pas selama ini bertindak sebagai kelompok yang mempertahankan Islam apabila ada tindakan DAP dan PKR yang mengguris perasaan orang Islam?

Islam benarkah Pas yang menolak perpaduan sesama orang Melayu dan umat Islam berbanding dengan Perkasa yang berusaha menyatukan orang Melayu?

Bolehkah Pas mendabik dada sebagai mempertahankan Islam, apabila ada pemimpinnya tidak sehaluan dalam isu-isu berkaitan Islam sejak kebelakangan ini?

Apa yang lebih kita dengar ketika ini ialah keghairahan Pas untuk menuntut sebuah pilihan raya bebas dan adil.

'Perjuangan' ini pada mulanya dicetuskan oleh S.Ambiga - seorang peguam yang menyokong murtad dan pernah mengganggu gugat umat Islam melalui Suruhanjaya Antara Agama.

Tetapi sekarang Pas lebih ke depan menyahut seruan Ambiga, jadi bolehkah Pas mengatakan mereka masih memperjuangkan Islam? Sebagai orang Islam tidakkah Pas sensitif dengan apa yang dilakukan oleh Ambiga sebelum ini, sedangkan Perkasa menentang Ambiga habis-habisan?

Semua itu terjadi kerana Pas secara dasarnya sahaja adalah sebuah parti politik yang ditubuhkan berasingan tetapi tindak-tanduknya tidak bebas kerana segala-galanya ditentukan oleh DAP dan PKR.

Justeru lebih baik menjadi NGO Melayu yang bebas seperti Perkasa berbanding menjadi parti politik yang hanya menjadi 'pak turut' kepada orang lain.

Jika Pas mendakwa di dalam Perkasa tidak ada ulama yang boleh memberikan nasihat berbanding Pas yang mempunyai ramai alim ulama termasuklah adanya Dewan Ulama, kita juga perlu bertanya berfungsikah golongan berkenaan dalam parti itu.

Apakah benar Dewan Ulama Pas mampu mempertahankan kesucian umat Islam sedangkan tindakan mereka lebih banyak 'dirantai' oleh perhitungan politik yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin lain terutamanya daripada golongan bukan ulama.

Berfungsi sangatkah Dewan Ulama dalam menjadi pembimbing kepada Pas supaya tidak meninggalkan landasan perjuangan Islamnya semata-mata kerana mahu merebut kuasa politik?

Kalau betul Dewan Ulama Pas berfungsi, kenapa Pas boleh mengubah dasar perjuangannya daripada negara Islam kepada negara berkebajikan?

Kenapakah keupayaan ulama-ulama Pas ini seolah-olah tidak diiktiraf apabila pemilihan parti itu baru-baru ini menyaksikan golongan berkenaan ditolak habis-habisan bagi jawatan-jawatan utama?

Pas harus ingat untuk memperjuang dan mempertahankan Islam ia bukan soal perlu ada ulama atau tidak dalam sesuatu kelompok itu sebaliknya keazaman dan keikhlasan serta demi mencari keredaan Allah SWT.

Kalau ada berpuluh ribu pun ulama dan cerdik pandai agama dalam sesebuah organisasi tetapi mereka hanya menjadi pemerhati sahaja tiada gunanya juga!

Pas perlu mengakui akibat kerana sikap berpolitik merekalah yang menyebabkan pelbagai pihak terutamanya dalam pembangkang 'naik tocang' dengan melakukan tindakan yang mengganggu-gugat umat Islam dan orang Melayu.

Apa juga tindakan puak berkenaan ia akan dibela oleh 'tok-tok guru' dalam Pas sehingga kesudahannya bukan sahaja umat Islam rugi malahan mereka berpecah belah.

Begitu juga dalam isu terbaru melibatkan sebuah gereja di Damansara Utama, Petaling Jaya, sekali lagi Pas dilihat tidak berupaya melakukan apa-apa biarpun ia berkaitan dengan akidah Islam.

Jika suatu ketika dulu, Pas menuding jari menyalahkan UMNO apabila gejala murtad berlaku tetapi kali ini pemimpin-pemimpin kanan cukup berlapik dalam menyatakan pendirian, biarpun Ketua Pemudanya, Nasrudin Hassan menunjukkan ketegasan 'luar biasa'.

Semua ini membuktikan Pas tidak lagi berupaya menjadi pejuang Islam apatah lagi mempertahankan kesucian agama Allah itu.

Oleh itu keikhlasan Perkasa untuk menjadi benteng utama mempertahankan umat Islam harus disokong oleh semua pihak, tidak usahlah orang Melayu merasa khuatir atau dituduh rasis apatah lagi ekstremis kerana ada pihak lain yang lebih rasis daripada kita.

Selama ini, bukannya Perkasa tidak pernah dilemparkan dengan pelbagai tuduhan , oleh itu kalaulah kali ini ada pula tuduhan baru anggap sahaja 'ia deruan angin yang berlalu' tanpa apa-apa kesan.

Apa yang lebih utama ialah perjuangan mempertahankan kesucian Islam perlu dilaksanakan kerana ia bukan tuntutan manusia semata-mata tetapi Allah SWT.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive