Tuesday, June 21

DAH LAMA DAH!KISAH DULU-DULU.



Umum mengetahui dan tidak perlu rasanya dinyatakan secara panjang lebar apa kesannya terhadap masyarakat Islam jika kaedah itu dilaksanakan.

Bagi Yang Dipertua Persatuan Kariah-kariah Masjid Pulau Pinang, Datuk Seri Mohd. Yussof Latiff, beliau tidak mahu perpecahan di kalangan orang Melayu berikutan perebutan jawatan dalam pentadbiran masjid pada 1980-an berulang.

Lantas beliau menceritakan kepada penulis mengenai corak pentadbiran institusi masjid di negeri ini sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan sehinggalah sekarang supaya masyarakat faham kenapa pelaksanaan kaedah tersebut perlu dielakkan.

Menurutnya, semasa zaman penjajahan, hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam dikendalikan oleh Majlis Penasihat Agama Pulau Pinang.

Bagaimanapun, badan itu tidak mempunyai kuasa terhadap wakaf-wakaf termasuk masjid dan surau yang banyak terdapat di negeri ini.

Segala wakaf ditadbir oleh Lembaga Wakaf Orang Islam dan Hindu yang dipengerusikan oleh Pemungut Hasil Tanah yang merupakan ‘orang putih’ dengan orang Islam serta Hindu menjadi anggota lembaga itu.

“Selepas negara mencapai kemerdekaan pada 1957, Perikatan Pemuda Pulau Pinang mencadangkan supaya pentadbiran bagi orang Islam dan Hindu dalam lembaga tersebut diasingkan.

“Ketika itu saya merupakan Setiausaha Perikatan Pemuda Pulau Pinang dan kami berpendapat sudah tiba masa ditubuhkan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP),” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Dua tokoh Melayu, iaitu bekas majistret, G.M. Yusoff dan Pesuruhjaya Haji, Ali Rouse ditugaskan untuk merangka perlembagaan MAIPP. Usul berkenaan kemudiannya dibentangkan dalam mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu diluluskan penubuhan MAIPP pada 1959.

G.M. Yusoff telah dilantik sebagai Yang Dipertua MAIPP pertama manakala Ali Rouse sebagai Setiausaha Kehormat majlis tersebut.

Abdullah Fahim, iaitu datuk kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pula menjadi Mufti Pulau Pinang yang pertama. Sejak itu, segala urusan pentadbiran masjid diselia oleh MAIPP.

Mohd. Yussof memberitahu, pada awal 1960-an, MAIPP merancang untuk melantik ahli jawatankuasa kariah bagi mengurus masjid secara lebih sistematik.

“Sebelum itu, segala urusan pentadbiran masjid dikendalikan oleh orang kampung sendiri seperti imam dan penghulu. Jawatan-jawatan tersebut pula biasanya diperturunkan dari generasi ke generasi,” ujarnya.

Bagaimanapun, bukan mudah bagi MAIPP pada peringkat permulaan untuk membuka minda penduduk kampung supaya menerima kaedah baru itu.

Sesi penerangan ke seluruh masjid dilakukan bagi memaklumkan kepada masyarakat mengenainya. Namun, usaha tersebut akhirnya berjaya dan pemilihan jawatankuasa kariah masjid ala pilihan raya pun diperkenalkan.

Sehinggalah pada sekitar 1980-an, unsur berpuak-puak mula menjalar di kalangan kariah. Ketika itu masjid dilihat sebagai institusi yang kukuh dari segi kewangan dan mempunyai pengaruh kepada masyarakat.

Bagi calon, jika terpilih maka ada ‘habuan’ yang menanti mereka seperti elaun dan kemudahan-kemudahan lain termasuk kuasa. Maka berlakulah perebutan kerusi jawatankuasa kariah masjid sehinggakan pernah berlaku calon membawa ‘pengundi-pengundi hantu’ dengan bas untuk mengundinya.

Akibatnya, bibit-bibit perpecahan menular di kalangan penduduk kampung seperti boikot-memboikot kenduri berikutan perbezaan ‘parti’.

Bagi mengelak institusi masjid tercemar dan demi menjaga perpaduan masyarakat Islam, Exco Agama ketika itu, Datuk Seri Mohd. Shariff Omar diberikan tanggungjawab merangka kaedah baru supaya proses pemilihan diadakan secara lebih demokrasi dan terkawal.

“Maka dicadangkan bagi setiap penggal baru, jawatankuasa sedia ada mengadakan mesyuarat agung dan mengemukakan senarai 15 calon termasuk dua wanita kepada MAIPP untuk dilantik sebagai ahli jawatankuasa kariah masjid.

“Kaedah inilah yang diguna pakai sehingga sekarang tanpa sebarang pertelingkahan di kalangan ahli kariah,” jelasnya.

Justeru, tidak hairanlah apabila perkataan ‘syukur’ keluar daripada Mohd. Yussof sebaik-baik menerima berita menerusi panggilan telefon bahawa proses pilihan raya masjid ditangguhkan atas titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Jumaat lalu.Pastinya beliau tidak mahu ‘parah’ yang berlaku ke atas masyarakat Islam di Pulau Pinang sekitar 1980-an berulang

SUMBER:UTUSAN MALAYSIA.


No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive