Tuesday, January 11

Belia.

‘BELIA Harapan Negara’ dan ‘Belia Tiang Negara’ antara slogan yang dilaungkan sejak dari dahulu. Gambaran yang diberikan adalah peri pentingnya masyarakat belia dalam menentukan hala tuju dan masa depan negara.

Sekadar slogan dan ungkapan manis, indah dan berbunga-bunga tentu tidak cukup untuk memajukan masyarakat belia.

Kalau benar-benar kita mahu menjadikan belia sebagai harapan dan tiang negara, perlu ada program yang jitu dan berterusan untuk mereka.

Jangan biarkan mereka terumbang- ambing tanpa hala tuju seperti anak ayam kehilangan ibu. Akibatnya, timbullah bermacam gejala seperti dadah, rempit dan ragut yang membabitkan belia.

Keadaan akan lebih parah jika tiada tindakan segera yang konkrit untuk menangani isu berkaitan belia dan seterusnya menyusun program untuk memastikan mereka sentiasa berada di landasan yang betul.

Apabila bercakap tentang belia, sudah tentu tempiasnya akan terkena pada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang diwujudkan pada 15 Mei 1964.

Ini merupakan entiti kerajaan yang bertanggungjawab menggubal dasar berkaitan pembangunan belia. Menyedari akan peri pentingnya masyarakat belia dan mustahaknya mereka dalam menentukan hala tuju negara maka Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini meluahkan hasrat menjenamakan semula KBS.

Matlamatnya adalah memperkasakan golongan belia supaya sesuai dengan perubahan persekitaran. Dengar-dengarnya, Dasar Pembangunan Belia Negara (DPBN) 1997 yang merupakan penambahbaikan daripada Dasar Pembangunan Belia (DPB) 1985 dijangka turut diubah.

Jika kita imbas kembali, DPBN diisytihar oleh Muhyiddin pada 8 Disember 1997 ketika beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan untuk memantapkan belia secara peribadi, rohani, akal dan jasmani. Ia mahu melahirkan belia yang bertanggungjawab, berdikari bersemangat sukarela dan patriotik.

Jadi, hasrat untuk mengkaji semula DPBN dilihat sebagai sesuai dengan perkembangan semasa. Sesuai dengan zaman di mana belia berhadapan dengan pelbagai cabaran. Zaman teknologi maklumat dan komunikasi dengan setiap saat belia terdedah kepada pelbagai elemen perubahan termasuk yang negatif.

Dasar yang bakal diperkenalkan mesti cukup untuk menjadi pembimbing dan benteng kepada masyarakat belia di negara ini agar mereka tidak tersasar dari hala tuju yang ditetapkan. Selama ini pun KBS memang diakui dan diiktiraf telah banyak menyumbang kepada pembangunan belia di negara ini.

Bantuan, sokongan dan bimbingan KBS kepada kelab-kelab belia di peringkat akar umbi banyak membantu mereka melaksanakan aktiviti. Malah peranan KBS banyak menerima pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Penubuhan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM), Penguatkuasaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 adalah inisiatif yang wajar dipuji. Namun, kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian sedia ada. Perubahan persekitaran dan global menuntut penambahbaikan pada KBS.

Mahu atau tidak, KBS mesti bergerak selari dengan perubahan persekitarannya. Struktur geopolitik berdasarkan etnik, isu pembangunan ekonomi belia dan demografik belia di negara ini perlu dilihat dengan teliti.

Belia di bandar, pinggir bandar dan luar bandar menuntut pendekatan strategik yang berbeza. Jurang umur golongan yang dikategorikan sebagai belia iaitu antara 15 dan 40 tahun juga perlu dilihat dan diperhalusi. Dasar dan aktiviti untuk belia yang berumur 15 tahun tentu berbeza dengan yang berusia 40 tahun.

Aspirasi mereka berbeza dan gaya hidup mereka tidak sama. Jadi pendekatan yang digunakan mestilah signifikan dengan peringkat umur. Tentunya tidak sesuai kalau kita menggunakan pendekatan tangkap muat satu untuk semua.

Pengisian

Sekilas pandang pun sudah boleh tahu bahawa kelompok belia awal (15 hingga 24 tahun) dan kelompok belia veteran (35-40 tahun) memerlukan pengisian berbeza.
Sebab itu penjenamaan yang diharapkan bukan hanya bersifat bersifat luaran. Bukan sekadar bersifat simbol, struktur dan slogan (sudah banyak slogan untuk belia). Tetapi ia mesti memberi kepuasan dan memenuhi keperluan golongan sasar.
Keupayaan KBS dalam memartabatkan belia memang diakui. Tetapi apa salahnya sekali sekala menilai fakta-fakta yang baru.

Sudah pasti kita mahu memastikan 11,614,735 belia yang berusia 15 hingga 39 tahun (unjuran Jabatan Perangkaan 2010) benar-benar mendapat manfaat daripada penambahbaikan tersebut.

Mereka ini mewakili 43 peratus populasi rakyat negara ini. Jumlah mereka hampir separuh, sebab itu dasar yang digubal untuk mereka mesti benar-benar jitu dan berkesan untuk memastikan penglibatan mereka lebih menyeluruh.

Kalau dilihat kepada senario sekarang berdasarkan kepada statistik sehingga 1 April 2010, hanya dua juta sahaja belia yang melibatkan diri dengan 7,709 persatuan belia yang berdaftar dengan Pendaftaran Pertubuhan Belia (ROY).

Apa jadi dengan 9.9 juta belia lagi di negara ini? Mereka ini tidak menganggotai mana- mana pertubuhan belia. Apakah hala tuju mereka?

Kalau tidak semua sekalipun, sudah tentu sebahagian mereka terjerumus dalam gejala sosial. Kajian membuktikan belia yang tidak berpersatuan lebih cenderung terpesong dengan pelbagai masalah sosial.

Lagi pula golongan belia amat berkait rapat dengan pengundi muda. Kegagalan menangani isu belia dan kegagalan menyediakan program yang selari dengan aspirasi mereka akan menyebabkan golongan itu jauh dari kerajaan.

Orang kata fakta tidak pernah menipu. Statistik jelas menunjukkan jumlah belia yang layak mengundi ialah 7.9 orang. Tetapi yang mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya 4.17 juta sahaja. Maknanya 47 peratus lagi tidak berbuat demikian.

Lebih lebih buruk lagi mereka dibiarkan mempunyai tanggapan negatif terhadap politik terutama kerajaan. Hasilnya mereka tidak ada kecenderungan dalam membuat keputusan membentuk kerajaan ketika pilihan raya. 

Tidakkah kita sedar bahawa ini satu lagi manifestasi kegagalan mendekati kelompok belia atau simbol penyakit belia dengan tahap kepedulian politik yang rendah?

Penguatkuasaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) juga telah mengubah landskap kepimpinan belia di mana keseluruhan kepimpinan belia pada hari ini berumur di bawah 40 tahun. Dari satu sudut, memang elok belia diberi peluang memimpin persatuan mereka. 

Tetapi keadaan kelam kabut yang berlaku ketika proses peralihan kepimpinan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada organisasi belia. Proses pendaftaran semula dari ROS (Pendaftar Pertubuhan) kepada ROY (Pendaftar Pertubuhan Belia) sudah ada masalah.

 Ini termasuk ada persatuan belia kini boleh diibaratkan seperti muflis. Sindiran, kritikan dan teguran yang mengatakan aktiviti kelab belia suram kebelakangan ini mungkin berpunca daripada pemimpin muda yang belum bersedia itu. Senario ini dijangka berterusan sehingga satu sistem pengkaderan yang sempurna dan teratur dirancang untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Tetapi bolehkan proses pengkaderan ini berlaku dengan lancar? Secara idealnya, mereka yang baru sahaja meninggalkan bangku sekolah (di bawah 20 tahun) mesti bersedia memimpin kelab di peringkat cawangan. Di awal umur 30-an mereka sewajarnya mempunyai persediaan yang cukup untuk memimpin kelab belia di peringkat kawasan, negeri dan kebangsaan.

Tetapi realitinya pula, umur tamat pendidikan formal untuk universiti adalah dalam usia 24 tahun dan mereka memerlukan tempoh 10 tahun untuk stabil dalam kerjaya dan keluarga.
Jika faktor ini diambil kira bakat-bakat kepimpinan pasti gagal dicungkil.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive